Pulau Tioman yang terkenal dengan keindahan pantai dan dasar laut, kini menawarkan satu lagi pakej menarik khusus kepada mereka yang gemar berjalan kaki atau mendaki.Terdapat sembilan laluan yang setiap satunya menjanjikan pengalaman berbeza kepada pelancong, bergantung kepada minat dan tahap fizikal mereka. Laluan itu telah digunakan sejak dahulu lagi, khususnya kepada penduduk setempat yang diberi ‘nafas baharu’ oleh pihak berwajib bagi menarik minat pelancong dan memberi nilai tambah kepada pulau itu kerana mendaki dan peminat berjalan kaki mempunyai kelompok yang tersendiri. Sebagai contoh, antara yang gemar berjalan kaki adalah pelancong luar negara yang agak berusia manakala aktiviti mendaki lebih digemari mereka yang minat dengan aktiviti lasak.
Pelancong boleh memilih laluan yang santai atau sukar, bergantung kepada minat dan tahap fizikal mereka. Laluan paling jauh dan mencabar ialah 1. Dragon Horn Trail sejauh 5km di Kampung Mukut yang memerlukan pelancong mendaki laluan menuju Gunung Semukut. Menariknya, puncak Gunung Semukut ialah batu granit yang dikenali sebagai ‘Dragon Horn’ kerana kelihatan seperti sepasang tanduk naga manakala pemandangan sisi seakan-akan muka manusia lengkap dengan dahi, hidung dan mulut.
Mereka yang mahu mendaki laluan ini perlu mendapatkan pemandu yang bertauliah dan berpengalaman di sini. Mereka juga perlu memaklumkan polis di pondok polis Kampung Mukut sebagai langkah keselamatan.Pelancong akan disajikan dengan pelbagai jenis flora dan fauna sepanjang laluan antaranya pokok tongkat ali, periuk kera dan Raflesia manakala mereka yang sampai ke perhentian akhir sebelum kawasan mendaki batu bermula dapat melihat pemandangan keseluruhan Pulau Tioman.
Bagi mereka yang berminat dengan laluan lebih mudah pula boleh memilih beberapa lagi laluan seperti 2.Asah Jom Trekking (2.4km) yang membawa pelancong ke Air Terjun Asah di Kampung Mukut.
Laluan lain ialah 3.Macaque Trail (1.4km) di Kampung Salang, 4.Monsoon Breeze Walk (2.8km) dan 5.Juara Canopy Walk (7km) di Kampung Juara dan 6.Tiong Man Island Walk (4.6km) dari Kampung Tekek ke Kampung Panuba melalui Kampung Air Batang.
Pelancong juga boleh memilih laluan 7. Mother Willow Hunt (1km) yang memerlukan mereka berjalan di dalam hutan, mendaki bukit dan melalui air terjun di Kampung Paya, 8.Mystery Walk (2.5km) di Kampung Genting dan 9.Rock and Stroll Trail (4.5km) iaitu berjalan di tepi pantai dari Tuna Maya ke Minang Cove.
Laluan di kampung-kampung yang berbeza juga memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali keindahan dan keunikan setiap kampung, yang setiap satunya dihubungkan dengan menggunakan bot. Kewujuan laluan ini juga diharap dapat menarik segmen pelancong berbeza ke Pulau Tioman yang selama ini dikenali dengan keindahan pantai dan dasar laut bagi aktiviti selam skuba dan snorkelling.